Dasar Pendidikan Nasional “Penjana” Generasi Harapan
Tuesday, June 2, 2009
Dasar kolonialisme yang melanda negara suatu masa dahulu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya. Puak kolonialis yang kononnya ingin membangkitkan kesedaran membina negara sebenarnya telah memperkudakan ‘kita’ untuk merealisasikan hasrat ‘murni’ mereka. Mereka berkuasa menetapkan dasar-dasar negara yang menjadi tunjang halatuju sesebuah negara. Dasar yang dilaksanakan di negara mereka menjadi acuan dalam merangka sistem dan perlembagaan negara ini pada ketika itu. Seterusnya masyarakat kita diracun pula dengan pelbagai isme yang melengkapkan agenda penjajahan golongan ‘berjasa’ ini. Dasar sekularisme yang didokong oleh penjajah berjaya menidakkan keperluan agama dalam segenap aspek kehidupan seperti politik, ekonomi sosial dan pendidikan.
Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan sebagai indikator utama tanpa memberi keutamaan terhadap aspek keagamaan telah berjaya melahirkan generasi demi generasi yang diimpikan oleh puak kolonialis ini. Contohnya, subjek Sains yang diajar seolah-olah bukan sahaja menidakkan kekuasaan dan peranan Allah dalam segala kejadian yang berlaku bahkan cuba menonjolkan kehebatan tokoh-tokoh barat dalam pelbagai penemuan baru sehingga generasi kita tidak pernah tahu sumbangan besar tokoh-tokoh Islam seperti Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun dan lain-lain dalam pelbagai bidang ilmu. Ketidakseimbangan elemen pendidikan antara aspek rohani, jasmani dan akal dalam sistem pendidikan melahirkan individu yang dulu, kini dan selamanya mencetuskan masalah kepada masyarakat dan negara.
Pelbagai solusi telah dibentangkan namun setiap usaha akan menemui jalan buntu selagi kita terus-menerus memisahkan agama dari pendidikan. Serangan demi serangan yang dilancarkan oleh penjajah melalui kempen budaya hedonisme terus melenyapkan jati diri remaja hari ini sehingga mematikan terus fungsi pendidikan sedia ada itu sendiri. Lebih menyedihkan, ‘segelintir’ daripada kita turut rancak menjayakan misi ‘membina’ remaja harapan ini dengan menghidangkan pelbagai program realiti TV buat tatapan rakyat tercinta. Kerajaan sedia ada perlu sedar akan kepentingan sistem pendidikan berteraskan Islam di semua peringkat sebagai solusi terhadap kebejatan sosial yang melanda generasi muda hari ini.
Oleh itu , pertubuhan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), telah mencari alternatif lain untuk kerajaan yang sedia ada dengan menyediakan pentas bagi menghimpunkan seluruh sarjanawan pendidikan dan para pemikir disegenap sektor kerajaan mahupun swasta, rasmi ataupun tidak rasmi, bagi membahaskan dan meresolusikan sebuah kertas kerja cadangan formula reformasi yang perlu dilakukan dalam sistem pendidikan Islam negara, ialah dengan mengadakan Kongres Rejuvinasi Sistem Pendidikan Islam Negara yang akan diakan pada 11 Julai ini. GAMIS berharap dengan mengadakan kongres rejuvinasi ini mampu mengeluarkan kerajaan dari ketidaktepatan pendefinisian masalah , kebuntuan jalan penyelesaian yang diambil lebih penting memberikan impak “political will” yang tinggi untuk kerajaan membuat post-mortem secara menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara.
Ini adalah satu-satunya benteng terakhir paling realistik untuk kerajaan Malaysia bagi menyelamatkan generasi muda pada masa kini dan seterusnya mengharapkan sistem pendidikan dapat dijadikan sebagai penjana “Generasi Harapan” yang diidam-idamkan.
0 comments:
Post a Comment